Followers

Wednesday, July 9, 2014

Umpama Seribu Bulan





Oleh

Dr. Mohd Sukki Othman


Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5 bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?  Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”


Ramadhan Menghasilkan Taqwa

Ramadhan datang  dengan membawa jutaan rahmat dan keberkatan yang dikurniakan Allah. Sesungguhnya amat beruntung sesiapa yang  berkesempatan berada dalam bulan Ramadhan dan yang dapat memanfaatkan masa, tenaga dan jiwanya untuk mencapai keredhaan Ilahi. Betapa mulianya bulan Ramadhan ini, dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila tibanya bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan dibelenggu".

Puasa yang disyariatkan oleh Allah S.W.T bukanlah sekadar memerintahkan umat Islam meninggalkan makan dan minum di siang hari semata-mata, tetapi tujuan difardhukan puasa itu mempunyai matlamat yang jelas untuk melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 telah menjelaskan tujuan disyariatkan ibadat puasa. Ayat tersebut bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu agar kamu bertakwa”.

Untuk mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan, kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.  Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus al-khusus’.



Namun, apa yang menyedihkan kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa. Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti melayari laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood dengan aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk sentimental, heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat, menipu, mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang masa dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi, tetapi amat sukar untuk bertakbir dan  sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima waktu!.

Sewajarnya setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)"- Hadis riwayat Imam Bukhari. 

Sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kerpada orang yang benar-benar berpuasa. Dalam sebuah hadis sahih yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,  Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".

Itulah antara ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan cara 'ibadat' yang dikehendaki oleh syara’. Di samping itu, banyak lagi ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi orang yang berpuasa sebagaimana yang termaktub dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. 


Ganjaran Seribu Bulan

Sebagaimana yang telah dijelaskan,  Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan elemen-elemen ketaqwaan. Puasa adalah ibadat yang dikaitkan dengan ketaqwaan. Orang  yang bertaqwa menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan mereka.  Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 bermaksud:   Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Sementara puasa pula adalah jalan untuk memperoleh taqwa. Ketaqwaan, al-Quran dan puasa digabungkan pula dengan penuh kemuliaan menerusi peristiwa penurunan al-Quran pada bulan Ramadhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah

Kemuliaan ini juga dapat dilihat melalui ayat al-Quran yang menyatakan penurunan al-Quran tersebut berlaku pada malam yang paling mulia di dalam bulan Ramadhan iaitu lailatul qadr. Firman Allah dalam surah al-Qadr ayat 1 bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadr.

Al-Qurtubi  dalam  al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an berkata, “al-Quran diturunkan dari Lawh Mahfuz pada malam lailatul Qadr sekaligus. Al-Quran diletakkan di Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudian Malaikat Jibril menurunkan al-Quran secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun.

Menurut Sheikh Manna' Qattan dalam bukunya Mabahith fi Ulum al-Quran, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama, ia diturunkan dari luh mahfuz ke langit dunia secara sekali gus. Peringkat kedua pula diturunkan dari langit dunia kepada Nabi s.a.w. secara beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Ramadhan bukan sahaja mendapat kemuliaan dengan penurunan al-Quran, bahkan ia juga merupakan bulan turunnya pelbagai kitab samawi yang lain. Kemudian beliau menukilkan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal yang menukilkan daripada Wa’ilah bin al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Diturunkan suhuf Ibrahim pada malam pertama bulan Ramadhan, diturunkan kitab Taurat pada hari keenam bulan Ramadhan, diturunkan kitab Injil pada hari ketiga belas bulan Ramadhan dan diturunkan al-Quran pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan”.

Selain kemuliaan tersebut, Allah SWT memuliakan al-Quran dengan Lailatul Qadr. Lailatul Qadr   menjadi ‘buruan’ penting bagi orang-orang soleh di dalam kalendar harian Ramadhan mereka. Ini lantaran keberkatan dan kemuliaan Lailatul Qadr yang amat besar sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran: Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.(al-Qadr : 3).

Dalam merungkaikan maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan fi ta’wil al-Quran telah menukilkan beberapa tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim dan al-Suyutiyy dalam al-Durr al-Manthur menukilkan daripada Abu Hatim yang menukilkan daripada ‘Urwah katanya, diceritakan kepada Rasulullah berkenaan empat lelaki dari kaum Bani Isra’il. Mereka beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa melanggar perintahNya walau sekelip mata. Mereka ialah Ayyub, Zakariyya, Hazqil bin al-‘Ajuz dan Yusha’ bin Nun. ‘Urwah berkata, lalu para sahabat Rasulullah pun merasa kagum terhadap perkara itu. Lalu Jibril pun datang dan berkata, wahai Muhammad, umatmu merasa kagum dengan lelaki-lelaki tersebut yang beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa pernah melanggar perintah Allah walau sekelip mata. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kepada kamu perkara yang lebih baik daripada itu. Jibril pun membacaإِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ . Perkara ini lebih utama dikagumi olehmu dan umatmu. ‘Urwah berkata, perkara tersebut telah mengembirakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersamanya.

Itulah kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah dikhususkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.

Selain itu, kelebihan Ramadhan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hambaNya yang berjaya menghidupkan kedua-duanya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan  penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa yang yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.(Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Ringkasnya kemuliaan Ramadhan jelas dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim. Ia merupakan bulan ganjaran, bulan al-Quran, bulan keampunan dan bulan pesta ibadat yang paling meriah. Ini tidak bermakna menafikan konsep ibadat yang tidak terbatas pada masa dan bulan tertentu. Harap tidak salah sekiranya penulis membuat gambaran umpama sebuah pasaraya yang membuat promosi hebat pada bulan tertentu. Tujuannya ialah untuk menarik seberapa ramai pelanggan supaya mengunjungi pasaraya tersebut dengan harapan mereka akan sentiasa mengunjunginya pada bulan-bulan akan datang walaupun tanpa promosi. Begitulah keadaannya dengan bulan Ramadhan, tawaran berganda yang tiada tolok bandingnya datang daripada Allah SWT yang Maha Kaya lagi Maha Pengampun. Ia bertujuan untuk melatih kita supaya menggandakan kuantiti dan kualiti ibadat, semoga kita akan dapat meneruskannya di dalam bulan-bulan yang seterusnya sehinggalah menjelang Ramadhan yang akan datang.

No comments:

Post a Comment