Followers

Wednesday, July 9, 2014

Umpama Yahudi Beroleh Sengsara




Oleh

  Dr. Mohd Sukki Othman


Firman Allah dalam surah al-Hashr ayat 15 bermaksud: 

(Keadaan kaum Yahudi itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) disebabkan bauan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (pada Hari Akhirat kelak).


Dalam ayat ini, Allah s.w.t. telah mendatangkan kiasan bagi kaum Yahudi dan  orang munafik dengan mengingatkan mereka bahawa mereka tentu akan mendapat keburukan akibat kekufuran mereka serta mendapat kehinaan di dunia serta azab sengsara di akhirat kelak.

Orang Yahudi dan Munafik yang akan ditimpa kesengsaraan itu adalah umpama Musyrikin Quraisy yang tewas dan gugur dalam Peperangan Badar, atau umpama orang-orang Yahudi Bani Qaynuqa yang telah dihalau dari al-Madinah al-Munawwarah (Lihat Tafsir Abu Su’ud).  Orang  kafir Quraysh itu telah merasai akibat buruk kekufuran mereka di atas dunia ini dengan kegagalan mereka dalam Peperangan Badar yang berlaku enam bulan sebelum Peperangan Bani al-Nadhir (Lihat al-Fath al-Qadir oleh al-Shawkani)..

Begitulah keadaan orang-orang Yahudi dan orang-orang Munafik yang kufur kepada Allah s.w.t., mereka akan ditimpa keburukan dan kehinaan di atas dunia ini. Manakala di akhirat pula, Allah s.w.t. telah menjanjikan azab neraka yang pedih untuk mereka. Penggunaan kiasan dalam ayat ini bertujuan untuk menggambarkan kesesatan dan penyesalan yang akan dihadapi oleh golongan Yahudi dan munafik.

Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah mengambil pengajaran dan pengiktibaran agar tidak terjebak dalam mengikuti jejak langkah Yahudi. Sekiranya umat Islam menjalinkan kasih sayang dan kerjasama dengan Yahudi, bermakna mereka akan terjebak dalam kesesatan dan   penyesalan yang berpanjangan. Bukan itu sahaja, malahan kesengsaraan menanti di akhirat akibat kasih sayang dan kerjasama yang diberikan kepada musuh Allah itu.


Penguasaan Yahudi Masa Kini

 

Penguasaan Yahudi terhadap Baitul Maqdis serta penguasaan mereka ke atas masjid-masjid di sana terutamanya Masjid al-Aqsa adalah merupakan suatu kezaliman yang nyata. Oleh itu, menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk berusaha bersungguh-sungguh demi menyelamatkan al-Quds dan masjid-masjid yang terdapat di dalamnya. Bahkan menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk membebaskan Palestin keseluruhannya daripada cengkaman Yahudi.

Hukum syariat Islam telah menyatakan bahawa sekiranya musuh berusaha mendapatkan serta menguasai bumi umat Islam, maka umat Islam di situ wajib berjihad mempertahankan tanah air mereka. Sekiranya penduduk di situ tidak mampu, maka menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk berjihad membebaskan bumi umat Islam tersebut. Akan tetapi sekiranya umat Islam hanya duduk diam membisu tanpa berusaha untuk berjihad membebaskan masjid al-Aqsa dan persekitarannya, maka ini akan mengundang kemurkaan dari Allah.


Hukum Bekerjasama Dengan Israel

Sekiranya seseorang muslim itu menziarahi atau berurusan dengan Israel sedangkan mereka masih lagi memerangi umat Islam, maka beliau boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri munafik. Alasannya ialah sekiranya seseorang itu muslim sejati, sudah tentu beliau beriltizam dengan hukum-hakam Islam yang menghendaki agar memberi wala’ dan ketaatan kepada Allah, Rasul dan  orang beriman. Muslim sejati juga sudah pasti akan memerangi mereka yang bertindak memerangi Islam di samping bertegas tidak berurusan dan bekerjasama dengan musuh-musuh itu. Seseorang muslim dianggap bekerjasama dan berurusan dengan Israel sekiranya mereka berjual-beli makanan, alat-alat senjata serta memperdagangkan barang-barang Israel di negara-negara umat Islam.

Jelasnya, perbuatan-perbuatan ini akan menggalakkan aktiviti ekonomi Israel dan secara tidak langsungnya telah memberi kekuatan kepada Israel untuk terus menguasai bumi umat Islam dengan secara zalim. Sesungguhnya seseorang muslim yang berurusan dan bekerjasama dengan Israel dianggap sebagai pengkhianat kepada Allah, Rasul-Nya serta orang beriman. Ini adalah berikutan Islam itu adalah amanah yang wajib dipelihara. Sekiranya bekerjasama dengan Israel yang memerangi Islam, tidak syak lagi bahawa itulah suatu pengkhianatan terhadap agama Islam. Inilah yang dinamakan munafik di dalam agama.

Perbuatan nifaq ( munafik ) serta mengkhianati Allah, Rasul dan  orang beriman adalah sebesar-besar jenayah dan dosa. Kerjasama yang dilakukan oleh seseorang individu muslim dengan Negara Israel seperti menyeludup masuk bahan-bahan makanan dan senjata serta memperniagakan barang-barang Israel di negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain, adalah merupakan jenayah dan pengkhianatan yang amat besar. Jenayah ini dianggap  amat besar kerana individu tersebut boleh dikatakan terlibat dengan perisikan yang bertujuan menghancurkan Islam.

Unit perisikan Israel sudah tentu akan mengambil kesempatan di atas kerjasama dengan individu muslim tertentu untuk mengetahui kekuatan tentera Islam seperti bilangan anggota tentera, kubu-kubu pertahanan dan sebagainya. Individu muslim yang sanggup diperalatkan sebegitu rupa semestinya mengharapkan ganjaran wang yang banyak hasil kerjasama dengan Israel. Malangnya, kerana semangat material yang menguasai diri, telah menyebabkan seseorang itu menjadi penolong kepada musuh-musuh agama dan seterusnya mempunyai saham yang besar dalam usaha memerangi Allah dan orang  beriman.

Pertolongan yang dilakukan oleh individu-individu tertentu terhadap Israel telah memungkinkan Israel terus menguasai bumi yang dirampas daripada tangan umat Islam. Sedangkan bumi tersebut adalah bumi suci umat Islam yang telah dipertahankan oleh umat-umat Islam terdahulu sehingga terpaksa menumpahkan darah-darah mereka dan mengorbankan nyawa-nyawa mereka. Bumi suci umat Islam ini telah disebut oleh Allah swt di dalam al-Quran dan juga telah disebut oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat pertama bermaksud: “ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda ( Kebesaran ) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.


Menjadi teman setia Yahudi

 Telah dinyatakan sebelum ini bahawa segala unsur-unsur kerjasama dengan Israel seperti penyeludupan barang-barang dan memperniagakan barang-barang Israel di negara-negara umat Islam adalah menunjukkan bahawa jalinan kasih sayang dan tolong-menolong akan wujud diantara individu-individu Islam tertentu dengan Israel.

Perkara-perkara yang seumpama ini jelas dilarang oleh Allah di dalam al-Quran. Allah menjelaskan bahawa individu-individu muslim yang melakukannya juga akan menyebabkan gugurnya iman. Contohnya ialah firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah ayat pertama, maksudnya: “ Wahai  orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita tentang Muhammad), kerana rasa kasih sayang dengan mereka”.

Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa apabila seseorang menjadi teman setia kepada musuh-musuh Islam, ianya akan menafikan keikhlasan dan keredhaan Allah. Begitu juga firman Allah dalam surah yang sama ayat ke-9, maksudnya: “Sesungguhnya Allah melarang kamu menjadikan sebagai temanmu  orang yang memerangi kamu kerana agama serta mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah  orang yang zalim".

Manakala firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah ayat ke-13 pula bermaksud:  “Wahai  orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah”.

Seterusnya terdapat ayat yang khusus ditujukan kepada golongan Yahudi sebagaimana yang diterangkan oleh sebahagian ahli tafsir yang menafsirkan surah al-Fatihah ayat 7, iaitu mereka adalah golongan yang dimurkai Allah. Ayat tersebut bermaksud:“...bukanlah golongan yang Engkau murkai ( Yahudi )...”.

Begitu juga terdapat ayat al-Quran yang secara jelas menyatakan bahawa sesiapa yang mengambil mereka sebagai pemimpin, maka akan termasuklah dalam golongan mereka seperti firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat ke-51yang bermaksud: “Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka”.

Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang menjadi teman setia serta memberi ketaatan kepada Yahudi, maka orang itu adalah termasuk dalam golongan mereka.

Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat ke 14-15 pula bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan  orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman?. Orang  itu bukan dari golongan kamu dan bukan (pula) dari golongan mereka. Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan sedang mereka mengetahui. Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras, sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan”.

Jelasnya, ayat-ayat al-Quran telah menyatakan bahawa mereka yang menjadi teman setia kepada Yahudi ( yang telah merampas bumi umat Islam ), mereka itu amat jauh daripada keimanan dan keislaman. Apatah lagi di akhirat kelak, mereka akan ditimpakan azab yang pedih sebagaimana yang ditimpakan ke atas  orang yang munafik. Manakala di dunia ini, golongan yang seumpama ini tidak akan hidup dalam ketenangan dan ketenteraman sebaliknya sentiasa mengundang bala dan musibah dari Allah. Di dunia mereka akan sengsara, apatah lagi di akhirat kesengsaraan yang abadi akan menjadi teman setia mereka.

No comments:

Post a Comment