Kitab Tafsir Nur al-Ihsan
Karya Tuan Haji Muhamad Sa’id Omar (Malaysia-Kedah)
Di
Kedah , seorang tokoh tafsir yang dapat dikesan pada peringkat awal
ialah Tuan Haji Muhamad Sa’id bin Omar yang lahir pada tahun 1854 di
Jerlun, Kedah. Beliau pernah belajar di pondok Patani dan Makkah serta
lebih dikenali dengan panggilan Tok Lebai. Beliau pernah dilantik menjadi kadi di Jitra dan turut terkenal dengan gelaran Haji Sa’id Mufti.
Beliau yang terkenal dengan panggilan ulama, penulis dan guru tafsir
al-Qur’an mempunyai sebuah kitab tafsir lengkap dengan keseluruhan 30
juzuk yang diberi judul Tafsir Nur al-Ihsan
Kitab
ini dicetak buat pertama kalinya di Makkah dan kemudian dengan keizinan
kerajaan Negeri Kedah, kitab ini dicetak semula di Pulau Pinang. Tuan
Haji Muhamad Sa’id meninggal dunia ketika berusia 75 tahun pada tanggal 9
Mac 1932. Gaya penulisan beliau dalam kitab ini mirip kepada penulisan
kitab Tafsir al-Jalalayn, iaitu menulis ayat al-Qur’an dalam
kurungan dan kemudiannya makna ayat itu diterjemahkan ke bahasa Melayu.
Setelah itu, ayat berkenaan diberi penghuraian secara ringkas. Antara
sumber rujukan kitab tafsir ini ialah Tafsir al-Jalalayn, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir Jamal.
Kitab
ini juga telah ditulis dalam bahasa Melayu jawi bahkan sebelum itu
dimukadimmahnya ditulis terlebih dahulu oleh pengarangnya dalam bahasa
Arab yang bermaksud:
“Sesetengah
saudara (sahabat) telah meminta saya menulis untuk mereka tafsir
al-Quran dengan bahsaa Kedah (Bahasa Melayu dailek Kedah) supaya mereka
dapat memahami perintah dan larangannya dengan mudah dan tidak
teragak-agak untuk taat dan beriman, lantas aku menyahutnya, walaupun
aku bukan ahlinya, semata-mata untuk mencari (menuntut) keredaan
al-Rahman, dan untuk melapangkan hati sahabat handai” ( Haji Muhammad
Said, 1:2)
Kitab Tafsir al-Qur’an ‘Abr Athir
Karya Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad (Singapura)
Di
Singapura pula telah muncul seorang ulama yang cuba melahirkan satu
tafsir Melayu yang mampu memberi saham kepada masyarakat minoriti Islam
Singapura ke arah memahami al-Qur’an dan tafsirannya, iaitu Ahmad
Sonhadji Mohamad. Pada peringkat awal, kitab tafsirnya itu ialah siri
kuliah tafsir yang disampaikan di Radio Singapura pada setiap minggu
malam Jumaat bermula dari tahun 1959. Akan tetapi disebabkan beberapa
masalah yang tidak dapat dielakkan, siaran kuliah tafsir di radio itu
tidak dapat dilanjutkan dan surah terakhir yang disampaikan di radio
ialah tafsir surah al-Hujurat. Kemudian, pada tahun 1983, beliau
menyambung semula penulisan tafsir tersebut dan selesai penulisannya itu
pada bulan April 1984. Setiap kuliah tersebut telah berjaya dikumpulkan
dan seterusnya dicetak menjadi satu kitab tafsir yang lengkap sebanyak
30 jilid dengan setiap juzuk dimuatkan dalam satu jilid. Kitab tafsir
ini telah dinamakan dengan judul Tafsir al-Qur’an ‘Abr Athir (Tafsir al-Qur’an di Radio).