Oleh
Dr. Mohd Sukki Othman
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
" Akan
tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang bersabar di antara mereka dalam
memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi)
Dalam
hadis ini, Rasulullah SAW mendatangkan kiasan terhadap suatu zaman yang sangat
mencabar sehinggakan orang yang komited dalam melaksanakan ajaran agama
terpaksa menghadapi kesusahan dan cabaran yang sangat hebat. Mereka diumpamakan
sebagai orang yang terpaksa menggenggam bara api. Sekiranya seseorang itu tidak
bersungguh-sungguh dalam memelihara agamanya, sudah tentu ia mudah terlucut dan
terlepas dari genggamannya.
Hal
ini adalah disebabkan suasana persekitaran tidak membantu ke arah menunaikan
kewajipan agama, sebaliknya keadaan persekitaran lebih mendorong untuk
melakukan kemaksiatan dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan aqidah dan
keimanan kepada Allah. Selain itu, ia juga bermaksud bahawa orang Islam berasa
tersepit dalam melakukan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat sokongan
dan dorongan.
Persekitaran Pencemaran Aqidah
Realiti
yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini, ialah pencemaran akidah dan ajaran
sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana
terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat?
Pencemaran aqidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam
sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari
semasa ke semasa.
Pencemaran aqidah berlaku melalui ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang
Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut
adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya
ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang
berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.
Pencemaran aqidah ini berlaku dipercayai berpunca
daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsur-unsur
animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti
Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang
meresap dalam ajaran Islam. Pengakuan menjadi Nabi, Rasul dan Imam Mahdi merupakan antara
tindakan favourite dilakukan oleh mereka yang terjebak dalam pencemaran aqidah.
Biasanya orang yang mudah terpengaruh dengan pencemaran aqidah ini ialah
golongan yang rapuh ilmunya. Mereka lebih selesa menjadi
‘pak turut’ daripada berusaha mencari ilmu sebenar yang berteraskan al-Quran
dan Sunnah. Natijahnya, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan songsang
itu. Apatah lagi, masyarakat kita biasanya akan mudah terpengaruh sekiranya
‘guru’ tersebut boleh melakukan perkara-perkara luar biasa yang tidak boleh
dilakukan oleh orang lain. Lalu, mereka akan menganggap guru tersebut mendapat
‘karamah’, dan seterusnya menjadi wakil Tuhan di bumi dan sebagainya lagi
dakwaan-dakwaan yang tidak berasas. Dalam hal ini, Imam Syafie telah menyatakan
bahawa ‘sekiranya engkau melihat ahli bid’ah dapat terbang di atas udara
sekalipun, maka janganlah engkau tertipu dengannya’.
.
Persekitaran
Pencemaran Akhlak
Hari ini, fenomena pencemaran akhlak dan
maksiat begitu berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja dan belia.
Kebanyakan pencemaran akhlak berlaku dalam hubungan antara lelaki dan
perempuan. Bahkan, sesuatu yang semakin dapat diterima apabila seorang wanita
yang bertudung kepala berpelukan bersama 'boyfriend'nya di taman-taman bunga,
atau di atas motor yang dipecut laju, atau di tempat-tempat hiburan seperti di
konsert-konsert yang melalaikan.
Hal
ini sudah menjadi fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana
terutamanya di kota-kota metropolitan. Manakala lelaki Islam pula kelihatan
begitu bangga apabila telinganya dihiasi dengan anting-anting yang berjuntaian,
atau leher yang dililiti dengan rantai yang bergemerlapan, dan seluar yang
sengaja dikoyakkan di lutut, kononnya mengikuti peredaran zaman. Itulah antara
fenomena 'canggih' yang wujud dalam masyarakat moden yang 'tidak ketinggalan
zaman' pada hari ini.
Remaja yang bertudung kepala
yang hanya menurut fesyen yang bukan
berasaskan tuntutan syara' berpeleseran dengan orang yang bukan mahram yang
akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat!. Maksiat
dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga
pemuda-pemuda yang waktu malamnya dihiasi dengan hiburan semata seolahnya hidup
ini tiada tujuan dan matlamat. Ada
pula yang mengucapkan 'alhamdulillah' ketika menerima sesuatu kejayaan dalam
program-program maksiat seolah tiada nilai perkataan tersebut!.
Golongan yang tidak mahu
terlibat dengan persekitaran maksiat seumpama ini dianggap sebagai kolot dan
tidak moden. Akhirnya mereka itu disisihkan. Orang yang berpegang pada ajaran
agama dan tidak mahu terlibat dalam persekitaran maksiat tersebut terpaksa mempunyai kesabaran yang kuat
dalam menghadapi godaan maksiat yang begitu meruntun jiwa remaja.
.
Sedar ataupun
tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita masa kini yang songsang itu
sebenarnya telah menunjukkan betapa berjayanya musuh-musuh Islam untuk menghancurkan
akhlak umat islam melalui racun 'serangan pemikiran' yang sekian lama telah
dirancang. Allah SWT telah memperingatkan tentang perkara ini dalam Surah
al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: "Dan mereka (musuh Islam) terus
memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu,
sekiranya mereka mampu". Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu
melaksanakan tugas mereka. Serangan pemikiran yang dilancarkan kepada umat
Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia sehingga umat Islam
sudah tidak dapat membezakan di antara hak dan batil.
.
Mantapkan
Aqidah
Aqidah yang mantap merupakan
penyelamat kepada seseorang dalam mempertahankan agamanya. Generasi
kini sewajarnya dididik untuk kembali kepada pegangan aqidah yang mantap demi
mengembalikan generasi para sahabat yang telah ditarbiah dengan kekuatan aqidah
yang menatijahkan kegemilangan Islam terpancar ke seluruh dunia. Tidak cukup
bagi seseorang muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi dalam masa
yang sama masih tidak mengenali Allah! Sehubungan dengan itu, didapati dalam
masyarakat Islam kini mereka yang tidak sensitif apabila Islam dihina, dan
gejala murtad semakin berleluasa. Mengapakah semua ini terjadi? Tidak lain dan
tidak bukan ia adalah berpunca daripada kerapuhan aqidah yang melanda umat pada
zaman kini!.
Aqidah
merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan
makrifah kepada Allah, RasulNya dan agamaNya.
Aqidah, tauhid dan iman akan
merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat.
Orang yang mantap aqidahnya tidak akan goyah walau badai dan taufan yang datang
melanda. Mereka akan tetap mempertahankan agamanya walau dalam keadaan yang
sukar dan susah seumpama menggenggam bara api yang panas.
No comments:
Post a Comment