Thursday, August 14, 2014

Umpama Menggenggam Bara Api





Oleh

Dr. Mohd Sukki Othman


 Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 

" Akan tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi)


Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mendatangkan kiasan terhadap suatu zaman yang sangat mencabar sehinggakan orang yang komited dalam melaksanakan ajaran agama terpaksa menghadapi kesusahan dan cabaran yang sangat hebat. Mereka diumpamakan sebagai orang yang terpaksa menggenggam bara api. Sekiranya seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara agamanya, sudah tentu ia mudah terlucut dan terlepas dari genggamannya.

Hal ini adalah disebabkan suasana persekitaran tidak membantu ke arah menunaikan kewajipan agama, sebaliknya keadaan persekitaran lebih mendorong untuk melakukan kemaksiatan dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan aqidah dan keimanan kepada Allah. Selain itu, ia juga bermaksud bahawa orang Islam berasa tersepit dalam melakukan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat sokongan dan dorongan.



 Persekitaran Pencemaran Aqidah

Realiti  yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini, ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat? Pencemaran aqidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.  

Pencemaran aqidah berlaku melalui  ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.  

Pencemaran aqidah ini berlaku dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsur-unsur animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.   Pengakuan menjadi Nabi, Rasul dan Imam Mahdi merupakan antara tindakan favourite dilakukan oleh mereka yang terjebak dalam pencemaran aqidah.    

            Biasanya orang yang mudah terpengaruh dengan pencemaran aqidah ini ialah golongan yang rapuh ilmunya. Mereka lebih selesa menjadi ‘pak turut’ daripada berusaha mencari ilmu sebenar yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Natijahnya, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan songsang itu. Apatah lagi, masyarakat kita biasanya akan mudah terpengaruh sekiranya ‘guru’ tersebut boleh melakukan perkara-perkara luar biasa yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Lalu, mereka akan menganggap guru tersebut mendapat ‘karamah’, dan seterusnya menjadi wakil Tuhan di bumi dan sebagainya lagi dakwaan-dakwaan yang tidak berasas. Dalam hal ini, Imam Syafie telah menyatakan bahawa ‘sekiranya engkau melihat ahli bid’ah dapat terbang di atas udara sekalipun, maka janganlah engkau tertipu dengannya’.
.



Persekitaran Pencemaran Akhlak

 Hari ini, fenomena pencemaran akhlak dan maksiat begitu berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja dan belia. Kebanyakan pencemaran akhlak berlaku dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Bahkan, sesuatu yang semakin dapat diterima apabila seorang wanita yang bertudung kepala berpelukan bersama 'boyfriend'nya di taman-taman bunga, atau di atas motor yang dipecut laju, atau di tempat-tempat hiburan seperti di konsert-konsert yang melalaikan.

Hal ini sudah menjadi   fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana terutamanya di kota-kota metropolitan. Manakala lelaki Islam pula kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi dengan anting-anting yang berjuntaian, atau leher yang dililiti dengan rantai yang bergemerlapan, dan seluar yang sengaja dikoyakkan di lutut, kononnya mengikuti peredaran zaman. Itulah antara fenomena 'canggih' yang wujud dalam masyarakat moden yang 'tidak ketinggalan zaman' pada hari ini.

Remaja yang bertudung kepala yang hanya menurut fesyen  yang bukan berasaskan tuntutan syara' berpeleseran dengan orang yang bukan mahram yang akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat!. Maksiat dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga pemuda-pemuda yang waktu malamnya dihiasi dengan hiburan semata seolahnya hidup ini tiada tujuan dan matlamat. Ada pula yang mengucapkan 'alhamdulillah' ketika menerima sesuatu kejayaan dalam program-program maksiat seolah tiada nilai perkataan tersebut!.

Golongan yang tidak mahu terlibat dengan persekitaran maksiat seumpama ini dianggap sebagai kolot dan tidak moden. Akhirnya mereka itu disisihkan. Orang yang berpegang pada ajaran agama dan tidak mahu terlibat dalam persekitaran maksiat tersebut    terpaksa mempunyai kesabaran yang kuat dalam menghadapi godaan maksiat yang begitu meruntun jiwa remaja.
.
Sedar ataupun tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita masa kini yang songsang itu sebenarnya telah menunjukkan betapa berjayanya musuh-musuh Islam untuk menghancurkan akhlak umat islam melalui racun 'serangan pemikiran' yang sekian lama telah dirancang. Allah SWT telah memperingatkan tentang perkara ini dalam Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: "Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu". Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu melaksanakan tugas mereka. Serangan pemikiran yang dilancarkan kepada umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia sehingga umat Islam sudah tidak dapat membezakan di antara hak dan batil.
.
Mantapkan Aqidah

Aqidah yang mantap merupakan penyelamat kepada seseorang dalam mempertahankan agamanya. Generasi kini sewajarnya dididik untuk kembali kepada pegangan aqidah yang mantap demi mengembalikan generasi para sahabat yang telah ditarbiah dengan kekuatan aqidah yang menatijahkan kegemilangan Islam terpancar ke seluruh dunia. Tidak cukup bagi seseorang muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi dalam masa yang sama masih tidak mengenali Allah! Sehubungan dengan itu, didapati dalam masyarakat Islam kini mereka yang tidak sensitif apabila Islam dihina, dan gejala murtad semakin berleluasa. Mengapakah semua ini terjadi? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah berpunca daripada kerapuhan aqidah yang melanda umat pada zaman kini!.

            Aqidah merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada Allah, RasulNya dan agamaNya.  Aqidah, tauhid dan iman   akan merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Orang yang mantap aqidahnya tidak akan goyah walau badai dan taufan yang datang melanda. Mereka akan tetap mempertahankan agamanya walau dalam keadaan yang sukar dan susah seumpama menggenggam bara api yang panas.

             

No comments:

Post a Comment