Followers

Friday, October 31, 2014

Jom Puasa 9 & 10 Muharram

Disunatkan   kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.
Dalam hadis yang lain, Ibnu Abbas berkata : Apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah s.a.w. berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah s.a.w.. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud.
Mungkin timbul persoalan, mengapakah Nabi s.a.w mencontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya yang bermaksud: '… Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin'.?
Sebenarnya amalan berpuasa pada hari asyura' (10 Muharram) telah dilaksanakan oleh Rasulullah sebelum baginda berhijrah ke Madinah lagi. Ini berdasarkan hadis yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: 'Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)'. – Muttafaq ‘Alaih
Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat ini, sesuatu yang sewajarnya dijadikan pengiktibaran pada peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keengkaran dan keangkuhannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus, ayat 90 bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)".

1 comment: