Monday, February 27, 2023

BIODATA PROF MADYA DR MOHD SUKKI OTHMAN @ USTAZ SHAUQI

Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Bin Othman yang dikenali juga dengan Ustaz Shauqi dilahirkan pada tahun 1974 di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai Pulau Pinang dan merupakan Pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Beliau mengajar subjek Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak, I’jaz al-Quran dan Bahasa Arab dalam al-Quran dan Hadis di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.  

Mendapat pendidikan awal di Sek Keb Padang Menora, Tasek Gelugor, Seberang Perai. Seterusnya bersekolah di Sek Men Keb Agama al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai (SPM1991). Memperoleh BA (Hons) dalam Bahasa Arab dan Syariah dari Yarmouk University, Jordan pada tahun 1996. Mendapat Ijazah Sarjana Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001 dan seterusnya PhD dalam I'jaz al-Quran dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. 

Terlibat dalam banyak program di TV1, TV3, TV9, TV al-Hijrah. Juga menjadi panel di Radio IKIM FM, Manis fm, Salam FM, Klasik fm, Nasional FM, Perak FM, Mutiara FM, Terengganu FM dll. Terlibat dalam rancangan TV3 seperti  Tanyalah Ustaz, al-Kuliyyah ,Bismillah ,  Motivasi Pagi ,  Malaysia Hari Ini, juga menerusi TV1 dalam rancangan Anda Musykil dan Forum Perdana TV1, Madrasah Tafsir dan Klinik D'hijrah di TV al-Hijrah. Penceramah Tafsir al-Quran di Radio IKIM (Isnin hingga Jumaat) selama lebih 5 tahun bermula dari 15.4.2013 hingga 31.7.2018, penceramah hadis 40, al-Azkar, Koleksi Hadis  al-Targhib dan al-Tarhib dan Kuliah Subuh  di MANIS FM pada setiap hari (ahad hingga khamis) bermula dari 1.8.2018, juga mengisi slot di Salam FM, Klasik fm, Nasional FM, Perak FM dll.

 Menulis lebih daripada 500 artikel dalam pelbagai jurnal dan majalah serta telah menghasilkan lebih daripada 100 penulisan  buku. Menjadi pemegang amanah NGO Yayasan as-Syafie untuk misi pendidikan dan kemanusiaan peringkat antarabangsa. Menjadi Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Setiausaha Pertubuhan Talaqqi Bangi, Ahli Kesatuan Ulama Sedunia, Ahli Lembaga Pengelola Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), Penasihat Akademik UNISHAMS, Penasihat Syariah Koperasi KUPUTRA, Penasihat Syariah Tabung Amanah Zakat UPM, Penasihat Syariah Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM,  dan  Penasihat Syariah Raudhah Munawwarah Travel and Tours. Pada tahun 2016 telah dikurniakan tokoh maal hijrah negeri pulau Pinang kategori syabab

No comments:

Post a Comment